"Kadang-kadang Allah hilangkan sekejap matahari dan menggantikannya dengan guruh, kilat dan petir. Kita tertanya-tanya kemana pergi matahari. Puas kita tunggu dan menangis.. Rupa-rupanya Allah nak bagi kita pelangi yang indah"

Wednesday, March 16, 2011

hakikat ilmu

Ramai yang tahu kepentingan mencari ilmu. Hatta, wahyu yang pertama diturunkan pada Rasulullah saw pun berbunyi 'IQRA'' iaitu 'Bacalah!'. Tetapi, mengapa wahyu Ilahi yang pertama menyuruh Rasulullah saw membaca sedangkan baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca)?

Yang Tersirat

Hakikatnya, 'baca' di sini bukan bermaksud membaca apa yang bertulis, tetapi apa yang tidak bertulis. Perkara yang tidak bertulis iaitu perkara yang tersirat jauh lebih banyak, yang tidak semua manusia mampu 'membacanya'.

Maka, ayat lengkap wahyu tersebut ialah "اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ" yang bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan". Jadi, ilmu yang kita ada semestinya perlu sampai kepada hakikat ketuhanan. Kalau belum, maka tidak sempurnalah ilmu itu.

Ramai yang melihat ilmu itu dengan setinggi mana tahap akademik seseorang. Yang mendapat gelaran 'Dr.' atau 'Ir.' atau apa sahaja pangkat ilmu dilihat sebagai seorang yang patut dihormati. Ramai orang yang mengejar pangkat ilmu semata-mata untuk mendapat kesenangan hidup tetapi tidak ramai yang sedar bahawa ilmu yang disalahguna untuk kesenangan hidup itu membawa kepada kesengsaraan hidup di akhirat kelak.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda :

"Ilmu itu ada dua jenis : Ilmu yang ada dalam hati (disertakan amal), maka itulah yang bermanfaat; dan ilmu (yang hanya) berada di atas lidah (tanpa diamal), maka itulah ilmu (yang menjadi) hujjah Allah (untuk mendakwa kesalahan) terhadap anak Adam." - [Riwayat Ibnu Syaibah dan Al Khatib]

Ilmu kini hanya dilihat sebagai aset duniawi semata-mata. Sedangkan hikmah di sebalik wahyu pertama itu jauh lebih mendalam maksudnya. Ya, sejarah dunia sendiri telah menyaksikan kehebatan ummat Islam dalam bidang keilmuan suatu ketika dahulu. Tetapi kini, semua itu kelihatan sungguh jauh dari kenyataan. Kerana ilmu itu tidak lagi mampu membuktikan tahap kehambaan seseorang kepada Rabbnya.

Kata Imam Ghazali RahimahulLah Ta’ala :

"Ilmu yang meemberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah Ta’ala; (ilmu) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu; (ilmu) yang menambahkan ibdahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya; (ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia; (ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat; (ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya; (ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaithan dan tipuannya". - [Bidayatul Hidayah]